KANTA KESEDARAN

/
0 Comments
Assalammualaikum uolls,

Today akak nak buat review tentang buku Kanta Kesedaran dari Prof. Dr. Muhaya Mohamad.  Beliau merupakan seorang Professor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili. 


Buku ini akak beli on last weekend hari tu.  Sedikit daripada dalam buku ini adalah:

"Saya telah membicarakan tentang betapa pentingnya membuat pilihan dalam penentuan keputusan kehidupan kita. Pilihan itu melibatkan lima perkara iaitu kesihatan, kerohanian/spiritual, silaturahim, kekayaan dan minda/fikiran.

Sekarang dengan menggunakan konsep pemikiran “Reset Minda", kita akan memulakan langkah kehidupan positif kita dengan melihat diri sendiri atau refleksi diri. Kualiti hidup bergantung pada kualiti fikiran dan emosi. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita dan akhirnya itulah yang akan menentukan magnet diri kita. Jom lihat semua perkara dan lihat semua orang dengan kasih sayang dan kesyukuran, jauhi prasangka dan buruk sangka.

Dalam konsep pemikiran “Reset Minda", pertama yang mesti kita lakukan adalah lihat, renung dan kenali diri sendiri dahulu. Lihat diri kita di cermin. Siapakah diri kita yang sebenar? Adakah kita yang sedang berdiri di hadapan cermin (saya yang melihat) atau kita yang dibiaskan/direfleksikan oleh cermin (saya yang dilihat).

Hakikatnya, kita lihat dalam cermin itu ialah diri kita yang telah berubah dari segi fizikal. Yang kekal ialah roh kita, roh kita hanya satu, tidak akan berubah walaupun usia kita berubah dan fizikal kita berubah. Oleh itu diri kita yang sebenar ialah “saya yang melihat" di cermin, bukan “saya yang dilihat" di cermin.

Roh kita sangat perlukan makanan rohani. Bagi mendapat ketenangan, banyakkan bertaubat, berselawat dan beramal. Sikap (dalaman) yang positif akan memberikan refleksi atau gambaran fizikal (luaran) diri yang positif.

Sebab itulah, dalam “Reset Minda" menekankan konsep “dunia dalaman" (hati naluri/kerohanian) menentukan “dunia luaran" kita. Jika “dunia dalaman" kita positif kita akan beri kebaikan kepada orang (dunia luaran), dan akhirnya kita akan dapat semula balasan kebaikan kita itu (kebahagiaan). Iaitu formula “ADA - BERI - DAPAT". Sebaliknya kalau “dunia dalaman" kita negatif tindak-tanduk kita kepada orang (dunia luaran) juga negatif dan kita akan dapat (kebencian) orang kepada kita.

Pilihan juga menentukan hasil kehidupan dunia dan akhirat. Lihat hasil kehidupan kita, jika tidak seperti yang kita mahukan, hentikan menyalah orang lain, ambil tanggungjawab dan buat pilihan yang berbeza untuk hasil yang berbeza.

Pernahkah kita berhadapan dengan situasi, apabila kita ada masalah, kita lihat dan cari kesilapan diri sendiri serta hendak membetulkan diri kita dahulu? Yang sering berlaku, kita asyik sibuk hendak membetulkan orang. Selalunya kita menjadi susah atau bermasalah, sebab kita tidak boleh menerima keadaan dan kita hendak dunia berubah macam yang kita hendak. Sedangkan pada waktu sama, kita tidak mahu berubah daripada situasi yang kita ada.

Hakikatnya, bolehkah kita nampak diri kita sendiri? Bukankah kita tidak boleh melihat diri kita sendiri? Kedua-dua belah mata kita, tidak mampu melihat diri kita sendiri, tanpa bantuan cermin kita tidak dapat melihat diri kita sendiri. Hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya.

Begitulah lazimnya kehidupan, perkara dan hal-hal yang terlampau dekat dengan kita, kita tidak nampak, tetapi kita nampak perkara dan hal-hal yang jauh dari kita, dan itulah yang sibuk hendak kita perkatakan dan perbetulkan.

Maka itu, tengok diri kita dahulu, jangan cepat menuding jari ke arah orang, yakni nampak kesalahan orang lain sahaja. Kita pernah dengar orang berkata, “Kalau satu jari kita tunjuk kepada orang, tiga jari lagi akan menuding kepada kita." Lihatlah dan auditlah diri sendiri dahulu sebelum melihat dan mengaudit orang lain! Reset Minda!

Cara untuk kita sentiasa sibuk melihat diri sendiri dan kurang melihat dan mencari aib orang, adalah dengan cara selalu fikirkan tentang kematian, “Kalau saya mati macam mana? Di alam barzakh nasib saya macam mana? Kehidupan semula saya selepas bangkit kembali untuk kehidupan kedua nanti macam mana?"

Apabila kita sibuk menjaga perkara-perkara yang asas seperti teras akidah, kita tidak akan ada masa untuk memikirkan hal-hal yang remeh-temeh, malah hal-hal yang kecil tidak nampak besar dan tidak rumit di mata kita.

Refleksi, jom buat perjanjian dan kenyataan bahawa, saya akan menyerah diri kepada Allah dan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Jom audit diri. Apabila iman masuk di jiwa dan kita hidup mengikut hukum dalam al-Quran, maka indahlah kehidupan. Jika hidup bermasalah, audit diri dan iman serta audit sebanyak mana kita telah memberi manfaat yang diberikan kepada diri dan masyarakat.

Jika tertekan, audit iman kita kepada Allah dan hari kiamat, serta lihat amalan kita. Mengadu kepada Allah apabila ada masalah bukan bercerita kepada orang lain. Allah Maha Besar. Orang mukmin ialah orang yang boleh dipercayai.

Jom audit diri dan refleksi diri. Jom audit diri sama ada kita telah melakukan semua rukun iman dan lihat amalan kita, lihat percakapan dan lihat pemikiran kita. Henti melihat orang dan jom audit diri.

Semua orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanapun, jika tidak mengubah fikiran, tidak menjaga emosi dan tidak mengawal tindakan dan tidak akan berlaku perubahan kehidupan, sila audit diri dan refleksi diri, carilah masa untuk hal itu.

Jom belajar merayu hanya kepada Allah. Refleksi diri! Semoga kita menganggap semua yang berlaku kepada kita, sebagai cerminan diri kita. Insya-Allah akan hilang segala perasaan saling menyalahkan, sebaliknya akan mengambil tanggungjawab.

Anggap semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. Reset Minda dan refleksi diri. Sibukkanlah diri kita untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri, hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Sedikit sahaja, kalau nak lebih lanjut, kena cari buku ini.   Memang best sangat buku Kanta Kesedaran ni.  Ianya menjadikan kita memandang sesuatu dengan pandangan berbeza.  So, buku ini adalah highly recommended. Sampai di sini sahaja. 

Till we meet again,




You may also like

Post a Comment
copyright by www.marjianasani.com. Powered by Blogger.